Sebanyak 10,000 ekor benih ikan telah dilepaskan oleh Yang Berhormat Datuk Seri Haji Ahmad bin Hamzah, Timbalan Menteri I ke perairan umum sungai di Kampung Dusun Muda, Tapah, Perak hari ini.
Tujuan program pelepasan benih ikan ini adalah memperkayakan sumber ikan air tawar asli di kawasan tersebut sekaligus memberi manfaat kepada 3,000 orang nelayan darat. Program hari ini merupakan kerjasama antara Pejabat Perikanan Negeri (PPN) Perak yang dibantu oleh pusat pembenihan dan penyelidikan DOF yang mempunyai kemampuan serta kepakaran dalam menyediakan benih-benih ikan seperti Lampam Sungai, Baung dan benih ikan yang jarang ditemui seperti Kelah dan Temoleh. Mengikut statistik pendaratan Perikanan Darat Negeri Perak tahun 2020, lebih kurang 3 ribu tan ikan sungai didaratkan dengan nilai sebanyak 45 juta ringgit. Program perlepasan ikan ini dilakukan setiap tahun di Negeri Perak dengan anggaran lebih kurang 2 juta ekor benih ikan pelbagai spesies dengan nilai hampir RM500,000. Sebahagian dari benih ikan adalah keluaran dari Jabatan Perikanan Malaysia dan melalui peruntukan kewangan dari Kerajaan Negeri Perak dan Kerajaan Persekutuan. Pihak DOF sentiasa mengambil langkah agresif dengan merancang dan melaksana semula beberapa program dan dasar Jabatan supaya ia menjurus kepada memperkayakan sumber dan memulihkan kembali habitat perikanan darat seperti: i) Mengadakan majlis interaksi bersama nelayan-nelayan sungai; ii) Melaksanakan program pelepasan benih ikan asli ke perairan umum bersama masyarakat nelayan dan pemimpin tempatan; iii) Menasihati pengusaha akuakultur supaya mengamalkan sistem akuakultur baik (good aquaculture practices – GAP ) yang menekankan terhadap tanggungjawab ke atas kawalan ikan yang diternak agar tidak terlepas ke perairan umum; iv) Mengukuhkan langkah-langkah kawalan dan perundangan melalui usaha antara DOF Perak bersama Kerajaan Negeri Perak dalam meminda Kaedah-Kaedah Perikanan (Sungai) Perak 1992 dengan menambah peruntukan larangan melepaskan spesis ikan asing ke perairan umum; v) Mengadakan program kesedaran awam dan vi) Memperbanyakkan pemasangan papan tanda yang menyenaraikan spesies ikan asing bagi rujukan awam di sekitar sungai/tasik. Penguatkuasan dari masa ke semasa juga penting untuk memastikan kawasan larangan dan kawasan pembiakan ikan asli di perairan sungai Negeri Perak dilindungi agar spesies asli sedia ada tidak pupus bagi keperluan generasi akan datang seperti Kelah yang dikawal melalui Kaedah-Kaedah Perikanan (Sungai) Perak 1992. Ikan Temoleh dan Ikan Kelisa pula dikawal melalui perdagangannya dibawah undang-undang CITES.